Macau Scam: Pensyarah rugi RM132,000 - Utusan Malaysia

Macau Scam: Pensyarah rugi RM132,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 16 Mei – Seorang pensyarah di sebuah universiti awam di sini kerugian RM132,000 dipercayai ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota pihak berkuasa dan mendakwa mangsa terlibat kes penggubahan wang haram serta dadah.

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kira-kira pukul 3 petang semalam, pensyarah wanita berusia 60 tahun itu menerima panggilan daripada ‘Puan Hazlinda’ yang memperkenalkan diri kononnya sebagai pegawai perundangan Mahkamah Majistret Melaka.

Katanya, wanita berkenaan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM13,580.78.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa menafikan perkara itu dan seterusnya panggilan telefon disambung kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Anggota polis berkenaan menyatakan akaun mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram dan kesalahan akta dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa selepas itu mengikut arahan daripada ‘pegawai polis berkenaan’ untuk menyelesaikan perkara tersebut sehingga membuat pemindahan wang berjumlah RM132,000 dari akaunnya ke empat akaun suspek atas alasan untuk menyemak kesalihan wang berkenaan.

“Selepas memindahkan kesemua wang, mangsa gagal berhubung dengan ‘pegawai polis’ tersebut dan sedar telah ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini