Berahino dirompak sebelum ditahan polis - Utusan Malaysia

Berahino dirompak sebelum ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 15 Mei – Bekas penyerang skuad England Bawah-21, Saido Berahino berjaya melepaskan dirinya daripada sekumpulan lelaki bersenjatakan pisau, sewaktu dia memandu keretanya dengan paras alkohol yang melebihi had.

Bintang Stoke City itu menafikan bahawa dia memandu di bawah pengaruh alkohol dan peguam pemain tersebut berkata, apa yang menjadi isu ialah anak guamnya terpaksa memandu kereta untuk mengelak daripada diserang sekumpulan samseng yang merompaknya beberapa minit sebelum itu.

Berahino ditahan pada awal pagi 18 Februari lalu, di luar restoran VQ dekat Bloomsbury, London. Pemain tersebut ditahan anggota polis ditepi jalan sewaktu berada di dalam kenderaan jenis Range Rover berwarna hitam kira-kira pukul 3 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peguamnya, Garry Green memberitahu kepada Mahkamah Majlistret Highbury Corner, bahawa pihak pendakwaan hanya menyerahkan rakaman CCTV kepadanya, pagi ini, dan mahu memeriksa klip video tersebut bagi mencari kesan calar pisau.

“Berdasarkan maklumat yang diberi anggota polis mengendalikan kes ini, terdapat tiga kamera berbeza. Mereka menunjukkan tertuduh telah dikejar, kemudian dia terjatuh ke tanah dan diserang. Seorang pegawai sebelum ini ada berkata, dia ada melihat pisau di dalam rakaman CCTV tersebut.

“Saya masih belum diberi kesempatan melihat rakaman itu, sama ada kami memerlukan rakaman yang lebih jelas. Ia cukup nyata, apa yang menjadi isu ialah keadaan mentalnya ketika itu dan sama ada Berahino berfikir dia sepatutnya memandu ataupun tidak,” kata Green.

Sementara itu, pendakwaraya, Katie Weiss pula berkata: “Kami menggunakan rakaman CCTV tersebut untuk mengukuhkan dakwaan kami pagi ini, malangnya rakaman itu tiba lewat.

“Klip berkenaan hanya dimuat naik ke dalam sistem kami, semalam. Pihak pendakwaan ada menerima salinan dokumen dan sekeping cakera padat, hari ini. Ia sepatutnya diserahkan lebih awal, tetapi tidak berlaku.”

Green dalam penghujahannya pula berkata, kes tersebut dikendalikan dengan cara yang kurang memuaskan.

“Isunya ialah sama ada benar atau tidak tertuduh terpaksa memandu keretanya kerana keadaan yang mendesaknya berbuat demikian. Secara dasarnya, pihak pendakwaan telah menerima bahawa tertuduh dirompak beberapa minit sebelum dia memandu keretanya.

“Tiada pertikaian tentang tertuduh yang telah dirompak dan rompakan itu juga berjaya dirakam menerusi CCTV,” tegasnya.

Green juga meminta mahkamah memberi kebenaran kepada kepadanya menyaksikan rakaman video pemain bola sepak itu di bawah tempoh sejam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini