Restoran bekal nasi arab kepada pelajar Iqdar diarah tutup - Utusan Malaysia

Restoran bekal nasi arab kepada pelajar Iqdar diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 15 Mei – Sebuah restoran yang dikenal pasti memberikan sumbangan nasi arab kepada pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar), di sini sehingga menyebabkan kira-kira 40 daripadanya keracunan makanan diarahkan tutup.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, arahan penutupan selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar.

“Jumlah pelajar terdedah adalah seramai 150 orang dan yang mendapatkan rawatan adalah seramai 31 orang berumur antara 18 hingga 23 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan mendapati makanan disyaki adalah lebihan nasi dan lauk ayam yang tidak habis dijual dan punca keracunan kemungkinan disebabkan lauk ayam yang tidak dimasak dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kira-kira 40 pelajar Diploma Tahfiz al-Quran Wal Qiraat di Iqdar dilaporkan mengalami cirit-birit, sakit perut dan muntah selepas menjamah juadah moreh yang disumbangkan restoran tersebut, semalam.

Sehubungan itu, Dr. Norhizan berkata, pihak pengurusan institusi itu diberikan nasihat agar memastikan keselamatan makanan yang diterima untuk pelajar.

“Pilihlah makanan yang segar dan panas serta mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan untuk mengelak daripada memakan makanan yang telah rosak,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini