‘3 dalam 1’ buat Syakilla - Utusan Malaysia

‘3 dalam 1’ buat Syakilla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Mei – Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menyenaraikan atlet kontroversi, Syakilla Salni Jefry Krisnan dalam ketiga-tiga kategori bawah 55 kilogram, bawah 61 kg dan 61 kg ke atas bagi Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, langkah itu sebagai persediaan awal memandangkan bekas juara Sukan Asia Incheon 2014 itu kini mengalami peningkatan berat badan sehingga 67.95 kilogram.

“Jika mahu kekal dalam kategori bawah 55 kg, Syakila kena kerja keras dan bersaing dengan tiga pencabar (Siti Nur Azwani Nur Azli, C. Shamalarani dan A. Nisha) yang mungkin bukan mudah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terpulang kepadanya untuk memilih, kami tidak akan menekannya tetapi lebih baik dia tumpu 61 kg ke atas jika dengan berat badannya sekarang,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara-Makaf di Bukit Jalil hari ini.

Syakilla katanya, juga bakal berdepan cabaran getir daripada P. Madhuri yang semalam mencapai ranking nombor satu bawah 21 tahun Persekutuan Karate Dunia (WKF) bagi kategori bawah 50 kg dan mungkin mampu memasuki kategori bawah 55 kg.

“Makaf masih sayangkan bakat Syakilla namun kami mahu dia juga membuat kebangkitan dengan peningkatan prestasi Madhuri sekarang (meraih pingat perak Kejohanan Remaja Asia di Kota Kinabalu, bulan lalu),” katanya.

Fokus Makaf sekarang jelasnya ialah kepada Sukan SEA yang menawarkan sembilan pingat emas dengan sasaran skuad negara ialah empat daripadanya (dua acara kumite dan dua kata) tanpa menamakan sesiapa lagi sebagai sandarannya.

“Selepas satu kejohanan WKF di Uzbekistan pada Ogos, kami mungkin dapat sembilan atlet terbaik dan lima simpanan yang akan disaring lagi dalam sesi latihan bersama sebuah pasukan luar negara, sebulan sebelum Sukan SEA,” katanya.

Madhuri dan A. Somanroy yang baru-baru ini menghuni ranking ketiga dunia bawah 21 (84 kg ke atas lelaki) juga akan disasarkan untuk Kelayakan Olimpik di Paris, April tahun depan dengan kedua-duanya diletakkan dalam senarai panjang WKF.

Mengenai tindakan 12 ahli gabungan ‘Kem B’ Makaf yang melancarkan undi tidak percaya terhadap Presidennya, Tan Sri Mohd. Ali Rustam, kata Nur Azmi, perkara itu akan dibincnag dalam mesyuarat Exco di Melaka, 24 Mei ini dan sidang akhbar diadakan pada keesokannya.

“Kami juga sudah bincangkannya dengan Pesuruhjaya Sukan, semalam dan sudah melantik peguam serta membuat laporan polis mengenainya jadi saya tidak boleh mengulas panjang sehingga kami putuskan dalam Exco,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini