SITIAWAN – Seorang lelaki kempunan untuk merasai hasil curinya selepas dia ditangkap ketika sedang melakukan jenayah tersebut dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Anjung Lekir 2 di sini Ahad lalu.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, pemilik rumah tersebut menyedari rumahnya dimasuki penjenayah selepas dimaklumkan jirannya dan terus bergegas pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, sebaik pemilik sampai di rumahnya, dia mendapati pintu belakang rumahnya terbuka dan dia melihat papan yang digunakan sebagai tangga serta parang berada di belakang rumahnya.
“Pemilik rumah turut melihat seorang lelaki keluar dari rumahnya melalui pintu belakang dengan membawa sebuah beg.
“Suspek berusia 36 tahun itu tidak menyedari pemilik berada di luar rumah dan dia kemudian ditangkap pemilik selepas berlaku pergelutan antara mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Muhammad Hanif, suspek seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan mendapati suspek memasuki rumah tersebut melalui bumbung yang dibuka dan masuk ke salah sebuah bilik melalui lubang siling rumah tersebut.
“Perbuatan suspek bagaimanapun disedari jiran mangsa selepas dia melihat suspek membawa papan untuk memanjat masuk ke dalam rumah melalui bahagian dapur,” katanya.
Katanya, suspek sempat mencuri satu beg yang mengandungi lima utas jam tangan milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM1,000.
“Polis turut merampas parang milik suspek dan dia kini ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah,” katanya. – K! ONLINE











