ROME 15 Mei – Dua pemain pilihan tumbang di pusingan kedua tenis Terbuka Itali ketika Serena Williams menambah kejutan dengan menarik diri akibat mengalami kecederaan lutut tidak lama sebelum turun beraksi menentang kakaknya, Venus awal hari ini.
Kecederaan Serena, 37, itu menimbulkan kebimbangan tentang peluangnya untuk beraksi di Grand Slam Terbuka Perancis dua minggu dari sekarang memandangkan Terbuka Itali adalah kejohanan pemanas badan terakhir sebelum ke Roland Garros.
“Saya akan menumpukan kepada proses pemulihan dengan segera agar dapat beraksi di Terbuka Perancis tahun ini,” kata Serena yang mengakui usahanya untuk kembali cergas adalah lebih sukar daripada yang dijangkakannya.
Penarikan diri Serena itu bagaimanapun gagal diambil kesempatan sebaiknya oleh juara dua kali kejohanan yang juga pilihan kelima, Elina Svitolina yang tewas kepada Victoria Azarenka 4-6, 6-1, 5-7 biar pun mendapat bye di pusingan pertama.
Venus yang menang percuma pula kini menjadi pilihan untuk mengulangi pencapaian 1999 di sini apabila turun menentang sama ada Johanna Konta atau Sloan Stephens di pusingan ketiga selepas ini.
Dalam kategori lelaki juga turut berlaku kejutan apabila Alexander Zverev tewas mengejut kepada pemain dari pusingan kelayakan, Matteo Berrettini dari Itali 5-7, 5-7 di pusingan kedua sekaligus meneruskan pencapaian buruknya sejak kebelakangan ini.
Turut mara ke pusingan ketiga adalah David Goffin yang menewaskan Stan Wawrinka 4-6, 6-0, 6-2 untuk menempah pertemuan dengan Juan Martin Del Potro selepas ini. – AFP











