KUALA LUMPUR 14 Mei – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM9.5 bilion pada tahun ini berbanding RM12 bilion pada tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, peruntukan lebih kecil itu berikutan projek loji Jimah East Power (JEP) dijangka memulakan operasi pada tahun ini.
Katanya, sebanyak RM6 bilion diperuntukkan bagi segmen grid dan RM2.5 bilion bagi penjanaan.
“Segmen penjanaan meliputi loji janakuasa Southern Power Generation di Pasir Gudang, Johor yang dijangka beroperasi pada 2020 dan Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kedah.
“Baki capex diperuntukkan bagi jalur lebar optik fiber yang mana diunjurkan berupaya memberi sumbangan kepada kumpulan menjelang tahun hadapan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) TNB di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Nazmi Othman.
Mengulas tentang operasi perniagaan di luar negara, Amir berkata, meskipun TNB berdepan beberapa cabaran di Gamma, Turki, negara itu mempunyai masa depan yang baik dengan permintaan elektrik meningkat.
Jelas beliau, begitu juga India yang mempunyai potensi pertumbuhan baik bagi projek hidro.
Ditanya mengenai kemungkinan kenaikan bersih tarif elektrik, beliau berkata, ia hanya akan dapat diputuskan selepas kajian dilakukan.
“Dalam masa sama, TNB akan terus melaksanakan mekanisme sedia ada,” katanya.











