SEREMBAN 14 Mei – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meraikan kira-kira 300 pengamal media dan kakitangan Jabatan Penerangan serta Jabatan Penyiaran di negeri ini dalam majlis berbuka puasa di kediaman rasminya di sini malam ini.
Antara yang hadir ialah Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Sabarudin Yeop Hamza; Pengarah Jabatan Penyiaran negeri, Abdull Hadi Mohd. Yusoff dan Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (Manis), Arfi Ahmad.
Yang turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
Aminuddin dalam ucapan dalam majlis itu melahirkan penghargaan kepada para pengamal media di negeri yang telah memainkan peranan menyampaikan pelbagai maklumat kepada orang ramai.
Katanya, pihaknya berharap hubungan baik yang terjalin dengan media dapat diperkukuhkan demi kemajuan negeri ini.
“Saya berharap penulisan media di negeri ini akan menjadikan negeri dan negara ini lebih baik pada masa depan,” katanya.
Beliau juga menggesa media terutamanya media cetak memberi liputan lebih luas kepada sektor luar bandar di negeri ini yang masih bergantung kepada akhbar untuk mendapatkan berita dan maklumat.
Selepas berbuka, majlis disusuli dengan solat Maghrib, Isyak serta solat sunat tarawih. – UTUSAN ONLINE











