PUTRAJAYA 14 Mei – Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta agar tidak berasa kecewa sekiranya tidak diberikan tempat dan jawatan dalam kerajaan meskipun telah berhempas pulas memenangkan parti pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya, pengorbanan ahli-ahli parti itu pastinya akan memberi pulangan kelak kepada Bersatu dan rakyat terutama melalui sebuah negara yang ditadbir negara dengan baik.
Menurutya, tujuan utama menyertai parti bukan untuk mendapat ganjaran sebaliknya untuk berkorban demi agama, bangsa dan tanah air.
“Saya yakin ahli dan pemimpin kecewa kerana kemenangan parti tidak memberi apa-apa kepada mereka sebaliknya ada pemimpin parti yang ada jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri.
“Kita tidak dapat beri jawatan ini kepada semua kerana ia adalah terhad tetapi percayalah, dengan pemimpin kita dalam kerajaan, negara lebih aman dan makmur serta membangun dengan lebih cepat untuk memberi nikmat kepada kita semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri, adalah penting bagi ahli-ahli Bersatu untuk terus berkorban dalam usaha meraih hasil positif secara tidak langsung termasuk melibatkan peluang-peluang pekerjaan, perniagaan serta biasiswa.
Katanya, nikmat-nikmat yang diperoleh rakyat merangkumi kemudahan bekalan elektrik, air, jalan raya bertar dan landasan kereta api laju adalah hasil daripada perjuangan ahli-ahli parti.
“Kemenangan besar Pakatan Harapan di Sandakan adalah hasil sokongan dari parti-parti di Sabah termasuk Parti Warisan Sabah (Warisan) walaupun tidak ramai keluar mengundi. Rakyat sedar parti ini parti yang baik dan mereka yang masuk parti ini tidak mengharapkan sesuatu,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk beri kekayaan dan tempat tertentu untuk penyokong mereka. – UTUSAN ONLINE











