BUTTERWORTH 14 Mei – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri setakat ini telah memeriksa sebanyak 1,713 premis di 44 buah bazar di sekitar negeri ini dalam operasi khas pemantauan harga sejak bermula Ramadan lalu.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, bagaimanapun dalam pemeriksaan itu, pihaknya tidak mengesan sebarang kesalahan menaikkan harga secara mendadak dalam kalangan peniaga.
Dalam masa sama, tambah beliau, operasi dengan kekuatan seramai 130 pegawai dan penguat kuasa itu juga akan diteruskan dan dipergiat bagi memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.
“Selain itu, kita juga tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung kenaikan harga secara mendadak dan setakat ini juga, belum ada mana-mana peniaga bazar Ramadan di negeri ini yang dikenakan tindakan atas kesalahan itu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di bazar Ramadan Masjid Bandar Perda, Bukit Mertajam, di sini petang tadi.
Sementara itu, Mohd. Ridzuan berkata, pada operasi di bazar Ramadan Masjid Bandar Perda petang ini, pihaknya mengesan seorang peniaga melakukan kesalahan gagal menentusahkan alat timbang yang digunakan.
“Peniaga itu dikompaun serta-merta sebanyak RM100 selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang aduan berkaitan isu harga barang boleh menghubungi KPDNHEP di talian 1800 886 800 atau emel ke [email protected]. – UTUSAN ONLINE











