JAKARTA 14 Mei – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala 20 lagi dikhuatiri tertimbus akibat tanah runtuh susulan hujan lebat di kawasan perlombongan emas berhampiran Gunung Pongkor, Bogor, di sini semalam.
Detik News yang memetik Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho sebagai berkata, kejadian itu berlaku awal pagi semalam ketika pekerja lombong emas sedang melakukan kerja-kerja melombong di Desa Bantar Karet, mukim Nanggung, dekat Gunung Pongkor.
“Selain struktur tanah yang tidak stabil, keadaan diburukkan lagi dengan hujan lebat berterusan dan menyebabkan berlakunya kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sutopo memberitahu, angka sebenar mangsa yang terperangkap dalam runtuhan itu masih belum dapat disahkan namun berdasarkan maklumat awal daripada mereka yang terselamat, kira-kira 20 pekerja dipercayai tertimbus.
“Kita tidak ada data rasmi mengenai jumlah pekerja di tapak lombong itu namun pengiraan ini berdasarkan maklumat daripada mangsa yang berada di tempat kejadian,” jelasnya.
Operasi menyelamat mangsa setakat ini katanya berjaya mengeluarkan lapan mangsa termasuk lima daripada mereka telah meninggal dunia.
“Identiti mangsa yang terbunuh itu masih belum dikenal pasti lagi manakala mereka yang terselamat adalah Uus berusia 35 tahun dari Kampung Bantar Karet sementara Dede (30) dan Dika (24) adalah penduduk Kampung Cisarua,” katanya. – AGENSI
Sutopo memberitahu, operasi mencari dan menyelamat mengambil masa yang lama kerana terpaksa dilakukan secara manual ekoran bentuk muka bumi yang terlalu curam.
“Sehubungan itu, operasi terbabit terpaksa dihentikan seketika dan akan disambung semula esok dengan kerjasama Palang Merah Indonesia (PMI), sukarelawan dan penduduk sekitar,” katanya. –AGENSI











