KUALA LUMPUR 14 Mei – Penarikan banyak pelabur dalam era pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi bukti jelas kegagalan pentadbiran masa kini membina dan meningkatkan sistem ekonomi negara.
Malah, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai secara sinis berkata, keputusan membuat pusingan ‘U’ berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Bandar Malaysia membuktikan ‘penyesalan’ kerajaan PH dengan tindakan mereka yang menentang sebelum ini.
Namun apa yang membimbangkan katanya, kerajaan PH dilihat masih tidak mempunyai rancangan dalam memacu ekonomi negara ke hadapan dan memberi keyakinan kepada pelabur.
“Kerajaan PH cuba untuk menyelesaikan masalah tanpa mengakui kegagalan mereka. Namun, berdasarkan pemerhatian, ramai yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran masa kini dalam aspek pengurusan ekonomi sehingga menyebabkan sokongan jatuh 40 peratus berbanding 60 peratus sebelum ini.
“Oleh itu, kerajaan PH perlu berhenti memberi alasan dengan menyalahkan pentadbiran terdahulu. Sudah jelaslah bahawa ekonomi semakin buruk dan mereka masih menyalahkan pihak lain,” ujarnya.
Menurut beliau, sudah tiba masanya memberi fokus memajukan ekonomi dengan perancangan yang baik dan bulan madu sudah berakhir. – UTUSAN ONLINE











