PUTRAJAYA 14 Mei – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis terkejut dengan berita penemuan kem sementara di Wang Kelian pada 2005 memandangkan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di Perlis.
Saksi ke-25, Safrul Faiz Abd. Satar yang ketika itu bertugas sebagai Pengarah MKN negeri Kedah dan bertanggungjawab kepada Perlis memaklumkan, pada kebiasaannya pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini menerusi kawasan hutan berlandai.
“Lokasi terlibat merupakan kawasan hutan simpan kekal yang berbukit dan sukar ditembusi manusia.
“Selepas menerima laporan berita itu, saya sangat terkejut kerana ia tidak pernah berlaku di Perlis,” katanya dalam pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian di sini hari ini.
Pada masa sama, Safrul Faiz yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Sempadan Darat Ibu Pejabat MKN juga mendedahkan, pihaknya mendapati penyeludupan migran dari Myanmar meningkat selepas 2013.
Beliau berkata, kesemua maklumat itu diterima pihaknya menerusi hasil pembentangan agensi-agensi penguatkuasaan dalam Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Perlis.
Pada masa sama, Safrul Faiz berkata, 50 kilometer (KM) daripada 106 km keseluruhan sempadan negara di Perlis adalah berpagar manakala selebihnya tidak berpagar.
“Kawasan tidak berpagar diklasifikasikan sukar ditembusi kerana jauh dari kawasan penduduk dan terletak dalam hutan simpan kekal,” katanya.
Safrul Faiz menambah, kesemua lokasi sempadan negara dikawal sepenuhnya oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, MKN hanya berperanan memantau pelaksanaan dasar kerajaan berkaitan keselamatan negara manakala gerak kerja berhubung dasar itu dilakukan agensi-agensi penguatkusaan.
Prosiding berlangsung di hadapan tujuh ahli RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan bersambung esok.-UTUSAN ONLINE











