KUALA TERENGGANU 11 Mei – Kegagalan Terengganu FC layak ke separuh akhir Piala FA ekoran kekalahan besar 0-4 kepada Pahang, semalam, turut menarik perhatian bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meluahkan kekecewaannya yang disifatkan cukup memalukan.
Menurutnya, kekalahan itu yang sekali gus menutup peluang TFC merangkul Piala FA musim ini begitu sukar dan perit untuk diterima.
Ini kerana jelasnya, skuad Penyu itu sudah mendahului Pahang dengan agregat 2-1 dalam suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, minggu lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya satu post mortem dilakukan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan TFC dalam suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur di Kuantan.
“Kekalahan besar Terengganu FC 4-0 kepada Pahang malam tadi agak perit untuk diterima selepas kita mendahului agregat 2-1 dalam suku akhir pertama Piala FA, minggu lalu di laman sendiri.
“Satu post mortem segera perlu dilakukan untuk mengenal pasti apakah punca sebenar yang menyebabkan pasukan Penyu tewas dalam angka jaringan yang memalukan kepada lawan sehingga menjadi bahan jenaka dalam media sosial,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.
Menurutnya, kekalahan itu bermakna TFC gagal mencapai sasaran ditetapkan pihak pengurusan untuk ke final meskipun mendapat peruntukan besar. – UTUSAN ONLINE











