MILAN 11 Mei – Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, hari ini, menafikan khabar angin tentang dia akan meninggalkan juara Serie A itu, dan membalas kembali kritikan yang diterimanya selepas skuad bimbingannya tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara di tangan Ajax.
“Kadang kala saya tertanya-tanya, jika saya gagal membawa pulang trofi ke Juventus tahun ini, apakah yang akan berlaku? Mungkin mereka akan melempar saya dan membawa saya ke atas bara api,” kata jurulatih berusia 51 tahun itu yang memenangi gelaran liga buat kali kelima, baru-baru ini.
Allegri berkata demikian menjelang kunjungan Juventus ke Roma dalam saingan Serie A, esok dan berkata, dia akan bertemu pengerusi kelab, Andrea Agnelli bagi membincangkan tentang perancangannya untuk musim depan.
“Saya telahpun memaklumkan kepada pengerusi bahawa saya berminat untuk kekal, tetapi sekarang kami perlu berunding. Saya mempunyai perancangan untuk Juventus baharu sejak enam bulan lalu, tetapi pertama sekali, saya perlu bertemu dengan Agnelli bagi melihat jika kami mencapai kata sepakat,” katanya.
Juventus, yang juga terisingkir daripada saingan Coppa Italia oleh Atalanta, dikaitkan dengan kepulangan pengendali sebelum Allegri iaitu Antonio Conte, yang merangkul tiga gelaran pertama daripada lapan trofi berturut-turut yang dimenangi Juventus.
Nama lain yang turut dikaitkan media Itali dengan Juventus, termasuk bos Lazio, Simone Inzaghi, finalis Liga Juara-Juara, Mauricio Pochettino dan jurulatih Perancis, Didier Deschamps.
“Khabar angin tentang pengganti saya adalah sebahagian daripada permainan. Saya bersyukur kepada pengerusi dan dia juga berkata dia mahu meneruskan dengan saya. Saya memberitahu kepadanya sebelum perlawanan Ajax yang saya mahu kekal di sini. Saya berhutang budi dengannya dan kelab,” kata Allegri yang juga pernah memenangi liga bersama AC Milan pada 2011. – AFP











