KUALA LUMPUR – Seramai 12 wanita warganegara Thailand ditahan kerana didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kira-kira pukul pukul 2.40 pagi.
“Polis juga turut menahan seorang lelaki tempatan yang menggajikan pekerja asing tersebut tanpa permit yang sah.
“Pemeriksaan turut dijalankan terhadap pelanggan termasuk 16 lelaki yang berada di pusat hiburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ruslan menambah, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Premis tersebut turut dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 4 Akta Hiburan 2003 kerana menjalankan perniagaan dengan lesen hiburan yang telah tamat tempoh,” ujarnya. – K! ONLINE











