KUALA LUMPUR 11 Mei – Sebanyak 24,000 pek bubur lambuk mula diedar sepanjang bulan ramadan oleh pasar raya terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dengan kerjasama syarikat beras bumiputera, Juara Selera Sdn. Bhd..
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, program agihan bubur lambuk itu merupakan salah satu inisiatif Mydin sepanjang bulan ramadan setiap tahun.
“Tahun ini kami mendapat tajaan daripada Juara Selera Sdn. Bhd. dengan menyediakan bubur lambuk dan Mydin secara langsung menyediakan beberapa lokasi untuk para pelanggannya mendapatkan bubur itu.
“Inisiatif ini juga merupakan salah satu cara untuk lebih dekat dan menghargai para pelanggan Mydin di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengagihan bubur lambuk di Pasaraya Mydin Subang Jaya dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Urusan Juara Selera Sdn. Bhd.m Zulkifli Jamaldin.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya menjadikan tradisi pengagihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan sejak tahun 2006.
“Setiap lokasi kami akan edar bubur lambuk sebanyak 2,000 pek berserta air mineral keluaran syarikat Juara Selera Sdn. Bhd., antaranya di pasar raya Mydin yang tertumpu di empat negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah,” jelas beliau.
Terdapat 12 lokasi pasar raya Mydin terpilih yang terlibat dengan pengagihan bubur lambuk pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 3 petang.
Sebarang maklumat lokasi pengagihan yang bermula hari ini, 11 Mei hingga 1 Jun boleh didapati dalam laman sesawang syarikat Juara Selera Sdn. Bhd., http://www.berasjuara.com/. – UTUSAN ONLINE











