KUALA LUMPUR 11 Mei – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis barangan dalam operasi yang dijalankan dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM11 juta sejak Januari lalu.
Memetik portal Utusan Borneo, Komander PGA Briged Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi tersebut melibatkan keseluruhan Briged Sarawak iaitu Batalion Ke-10 di Lanang, Sibu; Batalion Ke-11 di Batu Kawa, Kuching dan Batalion Ke-12 di Miri.
Menurutnya, seramai 249 individu tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditangkap dalam tempoh tersebut dan melibatkan tiga jenis operasi iaitu Op Awas, Op Batas dan Op Libas.
“Manakala bagi 2018 pula, daripada tiga jenis operasi yang dijalankan kita berjaya menghasilkan jumlah nilai rampasan sebanyak lebih RM13 juta.
“Rampasan ini melibatkan pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang tidak membayar cukai serta kayu balak yang didapati diseludup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Komander PGA Briged Sarawak Peringkat Batalion 12 PGA Miri, di sini semalam.
Hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Superintenden Tan Hiap Seng, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Miri, Deputi Superintenden (DSP) Uchong Sigan, Ajutan PGA Briged Sarawak, DSP Yusuf Baki Khan dan Pegawai Turus Gerakan/Risik PGA Briged Sarawak, DSP Sahamran Ibrahim.
Kok Chin berkata, kelmarin Briged Sarawak berjaya melakar kejayaan dengan tangkapan dan rampasan yang dibuat di Tebedu dan Mukah.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada masyarakat yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan, sila salurkan kepada pihak PGA Briged Sarawak atau mana-mana Batalion PGA di Miri, Sibu dan Kuching.
Pada majlis sama, Khaw menyampai Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2018 bagi Batalion 12 PGA Miri kepada 42 penerima, 10 penerima Surat Penghargaan Tolak Rasuah sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-212 2019 Peringkat PDRM daripada Ketua Polis Negara dan tiga penerima bagi Surat Penghargaan daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof.
Selain itu, turut disampaikan adalah cek berjumlah RM12,000 sumbangan daripada Tabung Kebajikan, Sukan dan Rekreasi kepada Kelab Polis Batalion 12 PGA Miri dan juga Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Batalion 12 PGA Miri. – UTUSAN ONLINE











