Rokok dan bir bernilai RM92,201 dirampas - Utusan Malaysia

Rokok dan bir bernilai RM92,201 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mei- Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup rokok dan bir tanpa cukai bernilai RM92,201 dalam dua serbuan menerusi Op Libas di Mukah, Sarawak, pagi semalam.

Portal Utusan Borneo melaporkan, Pegawai Pemerintah Superintenden Sanudin Md. Isa berkata, serbuan yang diketuai Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar itu dijalankan kira-kira pukul 10.30 pagi ke atas sebuah rumah kedai di Pusat Komersial Jalan Setia.

Menurut beliau, semasa serbuan, seorang lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun ditahan ketika sedang membawa satu bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi rokok seludup.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penahanan suspek yang bekerja sebagai penjaga stor kemudian membawa kepada penemuan tempat penyimpanan rokok-rokok tersebut di tingkat satu premis tersebut dan mendapati sebanyak 655 karton rokok seludup pelbagai jenama disimpan dalam stor kedai itu.

“Kesemua barang-barang tersebut dianggarkan bernilai RM76,641 dan dipercayai duti importnya belum dibayar dari China dan Indonesia,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sanudin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dokumen perjalanan suspek telah tamat tempoh.

Tambah beliau, pihaknya turut menyerbu sebuah lagi premis di bangunan sama serta menemukan sejumlah 128 kotak bir pelbagai jenama bernilai RM15,460.

“Kedua-dua kesalahan tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau 10 kali ganda nilai rampasan itu dan antara enam bulan hingga tiga tahun penjara.

“Kami menjangkakan lebih banyak kegiatan penyeludupan semasa musim perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri berikutan permintaan tinggi terhadap rokok dan bir murah,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini