KUALA LUMPUR 11 Mei – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan wang tunai RM300 kepada pelayar Facebook yang menekan butang ‘like’ dan kongsi poster kempen pengurangan kompaun sebanyak 50 peratus sepanjang bulan Ramadan ini.
MBSA dalam kenyataannya memaklumkan, tawaran itu bertujuan menggalak dan memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) untuk menyelesaikan tunggakan kompaun mereka.
Jelasnya, pelayar Facebook yang menekan butang ‘like’ dan kongsi juga perlu menggunakan #MBSAlikeandshareMEI untuk memenangi hadiah wang tunai berkenaan.
“Pemenang terpilih akan diumumkan selepas tamat peraduan ini,” katanya.
Menurut MBSA, kempen pengurangan kompaun yang bermula 6 Mei hingga Jun 2019 menawarkan sehingga 50 peratus pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan.
“Kompaun tempat letak kenderaan juga akan diberikan pengurangan daripada RM100 kepada hanya RM30,” katanya.
Orang ramai boleh membuat bayaran di Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel yang ditempatkan di pasaraya terpilih pada setiap Sabtu dan sekitar kawasan pentadbiran MBSA iaitu di Kaunter Utama MBSA Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Pejabat Cawangan Setia Alam. – UTUSAN ONLINE











