KUALA LUMPUR 11 Mei – Seorang lelaki retak tulang di bahagian pinggang dan kedua-dua belah kakinya selepas nekad melarikan diri daripada pihak polis dalam kejadian di Lorong Haji Taib 1, dekat Chow Kit, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan bersama dua individu lain termasuk seorang wanita selepas pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung lokasi tersebut yang menjadi sarang penagih dadah tegar.
Katanya, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 10.15 pagi.
“Sebaik sahaja tiba di hadapan sebuah bilik, seorang wanita membuka pintu selepas beberapa kali diketuk.
“Ketika itu, seorang lelaki berada di bahagian luar tingkap bilik, namun kita berjaya menahannya sebelum pemeriksaan terhadapnya tidak menemukan sebarang barang salah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fahmi, lelaki terbabit kemudian memberitahu seorang rakannya telah melarikan diri dengan terjun melalui tingkap bilik yang berada di tingkat dua bangunan berkenaan yang dianggarkan setinggi 15 meter.
“Mangsa yang ditemukan di bahagian bawah bangunan itu kemudian terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa telah memaklumkan penemuan sebungkus plastik dipercayai dadah heroin dianggarkan seberat 3.34 gram dan satu balutan berwarna biru yang mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 3.74 gram daripada dalam dubur mangsa,” jelasnya.
Mohd. Fahmi berkata, hasil semakan juga mendapati suspek tersebut mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau bagi kes dadah dan jenayah.
“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa untuk disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Usaha membanteras pengedaran serta penagihan dadah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur akan terus diperhebatkan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan serta ketenteraman bandar raya ini, oleh itu orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan terus ke talian 03-26002222 IPD Dang Wangi ataupun Hotline Narkotik 03-26002302,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











