BUTTERWORTH 11 Mei – Sepasang kekasih ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah rumah di Ujung Batu, Bagan Dalam di sini hari ini kerana disyaki menagih dan memiliki dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, suspek berusia 42 dan 34 tahun itu yang bekerja sebagai buruh ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan di rumah tersebut mendapati suspek turut menyimpan 27 gram dadah heroin dan 0.7 gram syabu.
“Hasil soal siasat mendapati dadah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri.
“Nilai dadah yang dirampas berjumlah RM1,200,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif morfin dan methamphetamine.
“Suspek direman tujuh hari sehingga 17 Mei ini untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











