Kehadiran Nwakaeme, Safuwan suntik kebangkitan Tok Gajah - Utusan Malaysia

Kehadiran Nwakaeme, Safuwan suntik kebangkitan Tok Gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 11 Mei- Kehadiran semula Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharuddin dalam kesebelasan utama memberi impak besar kepada pasukan Pahang apabila berjaya menundukkan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Tok Gajah mara ke separuh akhir dengan aggregat 5-2 selepas tewas 1-2 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 1 Mei lalu.

Pahang akan menanti lawannya di peringkat separuh akhir di antara Perak atau PKNP FC yang akan bermain malam ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kehadiran dua pemain itu telah meningkatkan keyakinan pasukan. Kita akui sejak kebelakangan ini rentak permainan agak tidak menjadi tapi permainan pada malam ini (semalam) menunjukkan prestasi, kerjasama dan disiplin yang baik untuk mencipta banyak ruang.

“Semua pemain yang diturunkan juga tidak menghampakan.

“Mereka bermain sebagai sebuah pasukan bagi mengekalkan corak permainan yang saya mahukan sekaligus membolehkan kita bangkit selepas tewas kepada Terengganu pada suku akhir pertama sebelum ini,” kata pengendali Pahang, Dollah Salleh.

Dalam perlawanan itu, pemain sayap muda Pahang, Faisal Abdul Halim membuka jaringan seawal minit ketujuh, disusuli dua gol hasil ledakan Nwakaeme pada minit ke-47 dan minit ke-63 sebelum Mohamadou Sumareh menambah derita skuad Terengganu dengan gol keempat pada minit ke-74. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini