Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak pernah merekodkan sebarang kerugian sejak penubuhannya pada 1978, malah berjaya menjana keuntungan yang konsisten setiap tahun.
Fakta ini menolak sama sekali dakwaan PNB rugi RM6 bilion di dalam artikel tulisan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan wawancara penganalisis politik, Jailani Harun dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang disiarkan di dalam akhbar ini pada 9 Mei lalu.
Untuk rekod, entiti yang mencatat kerugian RM6.3 bilion bagi tahun 2018 ialah Khazanah Nasional yang diumumkan pada 5 Mac lalu.
Berikut merupakan kenyataan penuh PNB:
Merujuk kepada artikel Utusan Malaysia bertajuk Setahun Yang Gagal oleh Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Penerangan UMNO yang diterbitkan pada 9 Mei 2019 dan wawancara bersama Ahmad Zahid dengan Jailani yang diterbitkan secara dalam talian pada hari yang sama.
Petikan daripada artikel:
Dengan penjualan aset negara dan kerugian pertama Permodalan Nasional Berhad sebanyak RM6 bilion, membuktikan betapa rakusnya ‘kerajaan sepenggal’ ini meratah kekayaan negara untuk diri mereka sendiri.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) ingin menjelaskan bahawa PNB tidak pernah merekodkan sebarang kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1978.
Malah PNB dan unit-unit amanahnya telah berjaya menjana keuntungan yang konsisten setiap tahun untuk membolehkan pengagihan dividen yang kompetitif bagi 14 juta pelaburnya, yang sehingga kini telah mencapai RM187.1 bilion sejak penubuhan. Pada tahun 2018, PNB dan unit-unit amanahnya telah mencatat keuntungan bersih proforma sebanyak RM17.0 bilion yang membolehkan pengagihan dividen berjumlah RM15.0 bilion kepada para pelabur.
Dakwaan yang dibuat di dalam artikel dan wawancara tersebut adalah tidak benar sama sekali dan boleh menimbulkan kebimbangan serta keraguan dalam kalangan pelabur PNB. Kami mohon kerjasama pihak yang bertanggungjawab untuk menarik balik kenyataan mereka dan memperbetulkan fakta dengan kadar segera.
PNB mengambil serius amanat yang diberikan oleh para pelabur kami dan sentiasa mengutamakan kepentingan mereka. Oleh itu, demi melindungi kepentingan para pelabur, PNB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut termasuk tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang perkara yang berkemungkinan merosakkan reputasi PNB atau menghakis kepercayaan pelabur terhadap PNB. – UTUSAN ONLINE











