LONDON 11 Mei – Ketegangan politik antara Armenia dan Azerbaijan membuat Arsenal ‘risau’ pemain sayapnya, Henrikh Mkhitaryan kemungkinan besar bakal terlepas aksi final Liga Europa menentang Chelsea di Baku.
Kapten Armenia itu terpaksa menarik diri daripada aksi awal Gunners pada pertandingan itu menentang Qarabag kerana pertelingkahan mengenai wilayah Nagorny Karabakh.
Isu itu sekali lagi dibimbangi Arsenal selepas mereka menyingkirkan Valencia 7-3 secara agregat awal pagi semalam dan layak ke final di ibu negara Azerbaijan itu pada 29 Mei ini.
“Kami meminta jaminan UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) mengenai keselamatan Mkhitaryan berkunjung ke Baku bagi final Liga Europa. Pasukan dan pemain memerlukannya untuk berada dalam skuad.
“Jaminan mengenainya masih belum diperoleh dan kami berharap UEFA dapat memberikannya dengan segera. Kami sudah tentu amat bimbang dengan lokasi final yang membuatkan Mkhitaryan mungkin tidak boleh bermain di final,” menurut Arsenal dalam satu kenyataan.
Azerbaijan dan Armenia berbalah mengenai Nagorny Karabakh sejak pemisah Armenia merampas wilayah itu ketika peperangan yang didakwa meragut 30,000 nyawa pada awal 1990-an.
Genjatan senjata dipersetujui pada 1994 tetapi kedua-dua negara masih berbalah dan sering berbalas tembakan.
Mkhitaryan sebelum ini tidak membuat kunjungan ke Azerbaijan ketika beraksi bersama bekas kelabnya Borussia Dortmund dalam aksi Liga Europa menentang Galaba FK pada 2015.
“Ia prosedur bagi UEFA menghantar surat sokongan kepada persatuan, kelab atau kedutaan dalam usaha mendapatkan visa bagi pemain dan membenarkan mereka beraksi dalam perlawanan kejohanan UEFA,” menurut satu kenyataan daripada UEFA. – AFP











