Norish mahu bina empayar - Utusan Malaysia

Norish mahu bina empayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU berusia 20 tahun, gadis cantik ini sudah mula merancang masa depannya untuk membina sebuah empayar perniagaan sendiri menggunakan minat dan kepakaran dimiliki.

Pastinya setiap insan mempunyai cita-cita dan perancangan masa depan tersendiri untuk mengecapi kejayaan pada masa hadapan.

Tidak mahu melepaskan peluang untuk turut sama mewarnai masa depannya, Wan Norish Kamilya Mohd. Dasuki mula mengatur langkah dengan menimba pengalaman menerusi minatnya itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Norish, dia bercita-cita membuka sebuah perniagaan berkonsepkan kecantikan seperti tudung dan alat kosmetik kerana minat mendalam terhadap dunia kecantikan.

“Meskipun masih belajar di peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM), saya turut menjalankan perniagaan sampingan dengan menjual pelbagai barangan secara atas talian.

“Sambutan yang diterima sememangnya sangat menggalakkan, namun kadang kala saya terpaksa membataskan aktiviti perniagaan kerana kekangan masa sebagai seorang pelajar,” katanya.

Mengulas lanjut, gadis manis yang mengambil jurusan Pengurusan Perniagaan Insurans ini memberitahu bahawa dia turut melibatkan diri dalam dunia peragaan dengan menjadi model pakaian dan kosmetik apabila diperlukan.

“Saya mula melibatkan diri dalam bidang peragaan sejak menjadi model ketika berusia 17 tahun dan ketika itu saya mula ‘catwalk’ atas pentas peragaan ketika Majlis Make Up Festival.

“Menerusi penglibatan dalam program itu, saya mula dikenali dan mendapat permintaan untuk menjadi model mempromosikan produk dan barangan,” katanya.

Tambah gadis asal Kelantan ini, dia memilih menjadikan bidang peragaan sebagai kerjaya sampingan bagi menjana pendapatan sendiri selain menampung kos melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Memang tidak mudah untuk membahagikan masa antara pelajaran dan kerja, namun saya perlu bijak menguruskan masa supaya tidak tercicir.

“Bila menghadapi masalah seperti tertekan dalam pelajaran, saya akan menghubungi ibu kerana ibulah yang sentiasa memberikan sokongan terhadap minat dan pelajaran saya,” katanya.

Dalam pada itu, Norish yang gemar bersolek turut menyimpan hasrat untuk menjadi pramugari pada masa hadapan sekiranya mempunyai peluang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini