JITRA 10 Mei – Keghairahan kira-kira 30 orang remaja lelaki berlumba haram serta melakukan aksi merbahaya di jalan raya membawa padah apabila mereka ditahan polis di Jalan Jitra-Kodiang di sini, semalam.
Dalam operasi bermula pukul 8.30 malam itu, segelintir remaja yang ditahan dipercayai mengambil motosikal yang digunakan oleh bapa mereka sewaktu penjaga mereka itu sedang menunaikan solat tarawih.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintenden Chien Chunng Tsaur berkata, kesemua mereka yang berusia antara 13 dan 17 tahun itu ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan.
“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati, remaja-remaja ini mengambil kesempatan untuk menggunakan motosikal bapa mereka yang sedang bertarawih untuk meronda dan melakukan aksi-aksi bahaya.
“Mereka turut melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tiada lesen pemanduan, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar dan mengubah suai ekzos kenderaan masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Menurut Chunng Tsaur, pihaknya menghubungi ahli keluarga dan waris kesemua remaja tersebut untuk memaklumkan kesalahan yang dilakukan mereka.
Kata beliau lagi, polis turut menyita sebanyak lima buah motosikal selain turut mengeluarkan 30 saman dalam operasi berkenaan.
Ujarnya, operasi itu yang berakhir kira-kira tiga jam kemudian, disertai oleh seorang pegawai dan lapan anggota dari Skuad Khas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu. – UTUSAN ONLINE











