PORT DICKSON 10 Mei – Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin dan syabu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang buruh berumur 39 tahun di hadapan sebuah kedai di Jalan Perdana, Taman Perindustrian Lukut di sini pada pukul 2 petang semalam.
“Lelaki itu yang menunggang motosikal jenis Modenas berwarna hitam cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh anggota polis.
“Pemeriksaan terhadap beg silangnya menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 43.2 gram dan satu tiub straw syabu seberat 0.52 gram.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek yang berasal dari Port Dickson positif dadah jenis methampetamine dan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang di sini pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun pada pukul 1 pagi tadi.
“Semasa pemeriksaan badan dijalankan terhadap suspek, polis menjumpai satu beg kecil warna coklat di dalam poket bahagian belakangnya. Di dalamnya terdapat empat paket plastik lut sinar berisi ketulan kelabu disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 20.8 gram.
“Ujian air kencing mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh itu positif dadah jenis MOP selain memiliki 15 rekod berkaitan dadah,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – UTUSAN ONLINE











