LONDON 10 Mei – Penjaga gol Arsenal, Petr Cech tidak sabar untuk bertemu bekas kelabnya Chelsea sebelum menamatkan karier sebagai pemain bola sepak di pentas akhir Liga Europa.
Cech menjadi antara watak penting ketika membantu Gunners menempah aksi final di Baku pada 29 Mei ini menerusi kemenangan agregat 7-3 menewaskan Valencia, awal pagi tadi.
“Pasti sesuatu yang mengagumkan andai dapat menamatkan karier di final peringkat Eropah menentang bekas pasukan.
“Ada harinya kamu bermain dengan baik dan berfikir kamu boleh meneruskannya tetapi saya sudah membuat keputusan untuk bersara dan banyak yang saya fikirkan.
“Saya mungkin boleh meneruskannya selama dua tahun tetapi saya lebih suka untuk bersara awal daripada terlalu lewat,” katanya.
Sepanjang bersama Chelsea pada 2004 hingg 2015, Cech telah membuat 333 penampilan bersama Blues. – AGENSI











