KOTA BHARU 10 Mei – Hotel Royal Guest House (RGH), di sini membuat kelainan dengan menawarkan sajian berbuka berkonsep separa bufet, ‘Semi Buffet Ramadan’ sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Semi Buffet Ramadan diperkenal bertujuan mengelak berlaku pembaziran makanan kritikal terutama pada bulan puasa ini.
Ketua Pegawai Eksekutif RGH, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, dalam pakej itu, makanan utama tidak disediakan secara bufet, sebaliknya dihidangkan secara set dengan lima jenis pilihan ditawarkan.
Katanya, hanya makanan sampingan akan dihidangkan secara bufet.
“Antara juadah ditawarkan ialah siakap asam pedas, kari ikan India, udang telur masin, ayam lemon dan banyak lagi yang boleh dipilih mengikut pakej yang kami disediakan.
“Pada tahun ini, kami menyediakan satu menu istimewa ‘Telur Buncit’ iaitu telur dadar goreng yang diolah menggunakan ikan masin dan kulat yang akan menjadi pembuka selera pengunjung yang datang,” katanya ketika Prebiu Semi Buffet Ramadan RGH di sini baru-baru ini.
Menurut Raja Rusmin, pakej Semi Buffet Ramadan ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM38 bagi orang dewasa dan RM26 bagi kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.
Orang ramai yang berminat menjamu selera di RGH boleh menghubungi wakil RGH, Shera di talian 0129652818 dan Gee 0105709763 untuk membuat tempahan. – UTUSAN ONLINE











