KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan dalam satu kemalangan berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Sentul Pasar di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifli Yahya berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari itu , mangsa, Rohani Nawi, 68, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kejadian berlaku di lorong paling kiri jalan apabila sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki dua remaja berusia 19 tahun dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh warga emas berkenaan.
“Akibat rempuhan tersebut mangsa telah tercampak ke lorong tengah jalan dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Zulkefly, kedua-dua remaja berkenaan turut mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan badan akibat melanggar pembahagi jalan selepas merempuh mangsa.
“Kedua-dua mereka seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











