KUALA LUMPUR 9 Mei – Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak tidak mahu ambil kisah mengenai pemain yang tidak melaporkan diri ke kem latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya menyerahkan urusan berkenaan kepada pihak pengurusan.
Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah memberi tumpuan kepada barisan pemain sedia ada dan mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan prestasi pemain di samping menggilap bakat berpotensi ke tahap lebih baik.
“Pada saya…saya mahu terus positif. Saya perlu fikirkan apa saya ada, bukan apa yang saya tiada. Sudah tentu dengan adanya Toh, itu lebih baik.
“Isu ini mudah, selagi dia (Toh) belum melapor diri, saya tidak boleh komen apa-apa. Saya tidak perlu untuk memikirkan kenapa dia tidak mahu masuk (kem latihan).
“Saya mahu tumpukan kepada pemain yang saya ada, fikirkan macam mana untuk menaikkan prestasi dan nama mereka,” katanya kepada Bernama.
Selasa lalu, difahamkan pemain beregu wanita remaja negara Toh Ee Wei tidak melaporkan diri ke kem latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas diminta berbuat demikian.
Toh yang digandingkan dengan Pearly Tan adalah prospek baharu acara beregu wanita negara selepas mencipta kejayaan muncul naib juara Kejohanan Badminton Remaja Asia dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, pada Julai dan November tahun lepas.
Berikutan pencapaian cemerlang itu, mereka diserap ke dalam skuad senior pada Disember, namun Toh meninggalkan skuad badminton negara kerana bercuti panjang selepas menjalani pembedahan hidung ekoran masalah sinus kronik.
Dalam perkembangan lain, Rosman berkata dua gandingan senior negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen tidak boleh ‘lari’ daripada berdepan saingan sengit di setiap kejohanan jelajah siri super dunia sama ada di tahap rendah atau tinggi.
Beliau berkata pasangan negara tiada pilihan selain perlu lebih benar-benar bersedia menghadapi lawan kerana kesemua pemain kini dalam usaha mencari slot ke Sukan Olimpik 2020 yang bermula 30 April lepas membabitkan kejohanan pertama di Terbuka New Zealand.
“Tahun ini akan lebih sukar kerana ada yang dah masuk 20 pemain terbaik. Lawan beregu wanita tidak lagi mudah kerana mereka akan sertai seberapa banyak kejohanan tidak kira yang kecil atau besar.
“Contohnya, Jepun, mereka (pemain terbaik) tetap sertai kejohanan yang kecil atau tahap rendah, maka kejohanan itu akan jadi berkualiti tinggi. Untuk kita, memang perlu juga sertai, bertanding dan yang penting kerja keras,” katanya.
Ketika ini, gandingan Mei Kuan-Meng Yean menduduki ranking ke-14 manakala Vivian-Cheng Wen di kedudukan ke-22, berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam pada itu, Rosman berkata kedua-dua gandingan negara itu dalam persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Piala Sudirman di Nanning, China dari 19 hingga 26 Mei ini.- BERNAMA











