LONDON 9 Mei- Penyampai radio veteran, Danny Baker,61, dipecat stesen BBC selepas memuat naik sekeping gambar berunsur perkauman menerusi Twitter baru-baru ini.
Baker menerima kecaman hebat apabila berkongsi gambar yang memaparkan sepasang suami isteri memegang anak mereka yang merupakan seekor beruk bersama tulisan ‘bayi diraja meninggalkan hospital’.
Ramai pihak tampil mengkritik tindakan Baker yang seolah-olah menujukan gambar tersebut kepada pasangan diraja, Putera Harry dan Meghan Markle yang baharu menimang cahaya mata.
Baker kemudian memohon maaf dan bertindak memadam gambar tersebut daripada laman sosialnya.
BBC dalam pada itu mengumumkan Baker dipecat serta merta daripada menjadi penyampai di Radio 5 Live.
“Ini merupakan tindakan serius yang bertentangan dengan nilai-nilai diperjuangkan stesen ini.
“Danny merupakan penyampai yang hebat tetapi beliau tidak lagi mewakili stesen ini,” katanya.-AFP











