KEMAMAN 9 Mei – Indeks jenayah di daerah ini bagi empat bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan kepada 8.4 peratus dengan kes curi motosikal sebanyak 31 kes dan pecah rumah 22 kes.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, kebanyakan kes kecurian motosikal berlaku disebabkan kecuaian pemilik yang tidak memasang kunci tambahan.
“ Tanpa kunci tambahan akan beri ruang kepada penjenayah yang sentiasa mencari peluang walaupun kenderaan diletak di depan rumah atau pagar tidak tertutup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas di antara Pemangku Ketua Balai Pasir Gajah, Koperal Ahmad Arif Che Lah dan Sarjan Mejar Shaari Ahmad di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah serta para pegawai kanan IPD Kemaman.
Mohd. Said seterusnya mengharapkan kerjasama pemilik motosikal agar memasang kunci tambahan pada motosikal masing-masing bagi mengelak kecurian.
Bagi kes pecah rumah pula, jelasnya, kebanyakan kes berlaku apabila rumah ditinggalkan penghuni tanpa memberitahu jiran.
“Kita harap orang ramai yang ingin tinggalkan rumah hendaklah memaklumkan kepada jiran terdekat supaya mereka dapat pantau kediaman,” jelasnya.
Tambahnya, bagi kes narkotik, sepanjang tahun ini sebanyak 442 orang direkodkan termasuk 18 orang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1)(2) ADB 1952 (47 orang), Seksyen 15(1)(A) ADB 1952 (267 orang) dan lain-lain seksyen di bawah ADB 1952 (110 orang). – UTUSAN ONLINE











