JOHOR BAHRU 9 Mei – Pendirian dan ketegasan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam memperjuangkan sesuatu isu termasuk mempertahankan rakyat Johor akan menjadi panduan dalam usaha memperkasakan Pemuda Pas.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, ini kerana Tunku Mahkota Johor itu mempunyai karaktor dan caranya sendiri.
“Tunku Ismail yang bukan asing lagi bagi rakyat di negeri ini selain merupakan pemimpin yang bagus selain mempunyai cara tersendiri dalam menyatukan masyarakat.
“Dalam demokrasi, negara kita juga didokong dengan istitusi raja berpelembagaan. Pihak ini bukan sekadar ketua negara, malah tonggak kepada agama Islam. Di sini kita melihat Tunku Ismail memainkan peranannya dengan baik serta mampu menyatukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Muktamar Tahunan Kali ke-47 Dewan Pemuda Pas Negeri Johor di LC Katering di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pemuda Pas negeri, Jawahir Amin.
Jelas Khairil, apa yang Tunku Ismail lakukan adalah selari dengan apa yang Pas mahu bawa menerusi Gagasan Sejahtera.
“Maknanya gaya pemikiran Tunku Ismail ini diterima dan juga adalah pemikiran yang sama dengan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











