Polis trafik kawal lalu lintas 39 bazar Ramadan di Perak - Utusan Malaysia

Polis trafik kawal lalu lintas 39 bazar Ramadan di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 9 Mei – Setiap kali bulan Ramadan, bazar yang menjual pelbagai jenis makanan pasti menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari juadah berbuka puasa.

Keadaan itu sudah tentu menyebabkan kesesakan dan bagi mengatasi masalah tersebut, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri telah menempatkan 106 pegawai dan anggotanya untuk mengawal kesesakan lalu lintas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua JSPT negeri, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, kawalan trafik di 39 buah lokasi bazar di seluruh negeri sepanjang bulan Ramadan itu dijalankan bermula pukul 4 petang hingga 8 malam.

Katanya, pemantauan berterusan itu turut dibantu oleh 53 anggota penguatkuasa dari pihak berkuasa tempatan (PBT) setiap daerah.

“Anggota trafik ini bukan sahaja akan mengawal lalu lintas malah melakukan pemantauan dan rondaan berkala di sekitar lokasi bazar Ramadan di negeri ini.

“Ini bagi memastikan pergerakan lalu lintas di sekitar lokasi terlibat adalah lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zakaria, anggota trafik yang ditugaskan itu juga akan bertindak mengatur dan menyusun motosikal pengunjung di tempat yang betul bagi memastikan tidak mengganggu pengguna jalan raya lain.

Katanya, mereka juga akan memastikan tiada mana-mana kenderaan diletakkan secara bertindih yang menjadi salah satu punca kesesakan lalu lintas.

“Selain mahu kehadiran pihak polis dirasai orang awam di lokasi bazar Ramadan, kita juga mahu memastikan orang ramai tidak melanggar undang-undang lalu lintas dengan sewenang-wenangnya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini