Cermin gelap: Telah dapat pandangan pihak berkuasa, pemegang taruh? - Utusan Malaysia

Cermin gelap: Telah dapat pandangan pihak berkuasa, pemegang taruh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mei – Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mempersoalkan sama ada kerajaan telah mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa dan para pemegang taruh atau sebaliknya dalam keputusan membenarkan penggunaan cermin gelap pada bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang.

Liow Tiong Lai

Menurut bekas Presiden MCA itu, semasa beliau mengetuai Kementerian Pengangkutan, terdapat satu jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji isu cermin gelap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada satu jawatankuasa besar yang terdiri daripada para pegawai kementerian, polis, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan pemegang taruh lain. Kami menganjurkan bengkel untuk pemegang taruh seperti pengendali kedai aksesori untuk memaklumkan mereka tentang apa yang kami mahu laksanakan.

“Begitulah bagaimana jawatankuasa itu mendapatkan angka 30 peratus, 50 peratus dan 70 peratus untuk cermin depan, bahagian pemandu, bahagian penumpang dan belakang,” katanya seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Tambah Tiong Lai lagi, keputusan kerajaan mengutip RM5,000 daripada pemilik kenderaan yang mahu menggunakan cermin gelap sepenuhnya seolah-olah menunjukkan kerajaan hanya memikirkan mengenai hasil.

“Ada peraturan kecil yang membolehkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan budi bicara membenarkan pemandu menggunakan cermin gelap sepenuhnya atas sebab-sebab kesihatan dan untuk individu-individu berprofil tinggi.

“Ia bukan seperti sekarang di mana sesiapa sahaja boleh mohon selagi boleh bayar,” katanya yang turut berpandangan aspek keselamatan harus dijadikan keutamaan dalam proses membuat keputusan mengenai dasar awam.- UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini