Gadis hilang sejak Sabtu di Jerantut - Utusan Malaysia

Gadis hilang sejak Sabtu di Jerantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Seorang remaja perempuan dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.

Rossazlin Roslan, 18, dari Kampung Paya Garuk, di sini dikatakan keluar rumah seorang diri kira-kira pukul 3.30 petang Sabtu lalu dengan memakai jersi pasukan Pahang berwarna kuning dan seluar panjang hitam.

Abangnya, Mohamad Rosli, 27, berkata, Rossazlin hanya tinggal bersama adiknya, Rosmadiyana, 16, di rumah sebelum kejadian itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dia memberitahu Rosmadiyana bahawa dia ingin pergi ke surau berdekatan untuk berjumpa dengan ayah, Roslan Abdul Razak, 54, dan emak, Wan Noraini Wan Nor, 53.

“Ayah dan emak tidak ada di rumah kerana memasak di surau untuk kenduri doa selamat dan menyambut ketibaan awal Ramadan,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Menurutnya, kedua ibu bapanya yang pulang ke rumah selepas solat Asar terkejut kerana adiknya itu tidak ada di rumah malah kelibatnya juga tidak kelihatan di surau.

“Rossazlin tidak pernah keluar rumah seorang diri sebelum ini kerana dia mempunyai masalah kesihatan dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan yang dibekalkan,” ujarnya.

Dia memberitahu, keluarganya telah menghubungi anak keempat dari lima beradik itu beberapa kali termasuk menerusi aplikasi WhatsApp namun tidak ada jawapan malah nombor telefon semua ahli keluarganya telah disekat.

“Saya rasa ada orang yang telah melarikan Rossazlin menyebabkan dia tidak menjawab panggilan kami sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Tambahnya, laporan polis telah dibuat pada Ahad lalu serta berharap adiknya pulang dengan selamat dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya di talian 01126365730. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini