PASIR PUTEH – Seorang peniaga kedai makan di Kampung Bukit Yong, di sini mendakwa ada unsur khianat yang melibatkan kebakaraan kedainya awal pagi tadi.
Shamsurina Harun, 47, berkata, keluarganya terkejut apabila sebuah pondok di hadapan rumahnya sengaja dibakar oleh orang yang tidak dikenali kira-kira pukul 5 pagi.
Menurutnya, sebuah kereta Proton Iswara memecut laju apabila menyedari keluarganya keluar dari rumah untuk memadam kebakaran wakaf.
“Botol minyak petrol ditemui di sekitar kawasan itu dan dua botol daripadanya sudah disimbah.
“Saya bergegas ke Balai Polis Bukit Yong untuk membuat laporan namun dikejutkan pula dengan kebakaran kedai makan saya di sempadan Bukit Yong/Jertih pada pukul 5.15 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Samsurina mendakwa dia kerugian hampir RM20,000 kerana keseluruhan perabut dan peralatan hangus dalam kebakaran.
“Ada pihak yang sengaja membakar pondok sekitar rumah dan mengambil tindakan membakar kedai makan selepas cubaan pertama gagal,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, panggilan kecemasan kebakaran sederet kedai makan di hentian rehat Bukit Yong, diterima pada pukul 5.15 pagi.
“Kerja memadam kebakaran dijalankan tujuh anggota bomba yang melibatkan 70 peratus kebakaran yang berlaku ketika itu. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE










