BUTTERWORTH 8 Mei – Seorang pensyarah wanita berusia 36 tahun kerugian kira-kira RM30,400 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam di sini semalam.
Mangsa yang bertugas di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu mula terjerat dengan sindiket berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa wakil sebuah syarikat penghantaran.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa dimaklumkan kononnya terdapat bungkusan dadah yang dihantar atas namanya ke sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan.
Katanya, walaupun menafikan, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa kononnya pegawai polis.
“’Polis’ itu kemudiannya memberitahu mangsa terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram sehingga menyebabkan dia ketakutan,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Beliau berkata, mangsa yang terperdaya dan bimbang ditahan polis kemudiannya membuat tiga transaksi pindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM30,400.
“Wang tersebut dikatakan dipindahkan ke dalam akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia (BNM) kononnya bagi tujuan siasatan.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari dia ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada suaminya sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Sementara itu, Noorzainy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dan panik dengan sebarang panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang menggunakan modus operandi seperti itu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Mereka yang menerima panggilan sebegini perlu menghubungi polis atau mana-mana organisasi berkaitan bagi mendapatkan pengesahan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











