Pensyarah IPTA rugi RM30,400 diperdaya Macau Scam - Utusan Malaysia

Pensyarah IPTA rugi RM30,400 diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Seorang pensyarah wanita berusia 36 tahun berputih mata apabila kerugian kira-kira RM30,400 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan Macau Scam di sini semalam.

Mangsa yang bertugas di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu dikatakan mula terjerat dengan sindiket berkenaan selepas menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya wakil sebuah syarikat penghantaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd. Noor berkata, menurut panggilan itu, mangsa telah dimaklumkan bahawa terdapat bungkusan dadah yang dihantar atas namanya ke sebuah rumah yang beralamat di Seremban, Negeri Sembilan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada individu mendakwa dirinya sebagai pegawai polis.

“Polis itu kemudiannya memberitahu bahawa mangsa ada terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram sehingga menyebabkan dia ketakutan,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Beliau berkata, mangsa yang terpedaya dan tidak mahu ditangkap polis kemudiannya telah membuat tiga transaksi pindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM30,400.

“Wang tersebut dikatakan dipindahkan ke dalam akaun pegawai juru audit Bank Negara Malaysia kononnya bagi tujuan siasatan sebagaimana diarahkan suspek.

“Bagaimanapun, mangsa hanya sedar bahawa dia ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada suaminya dan diberitahu bahawa ia adalah scammer sebelum dia membuat laporan polis,” katanya lagi.

Sementara itu, Noorzainy turut menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dan panik dengan sebarang panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang menggunakan modus operandi seperti itu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan scammer.

“Hubungi pihak polis atau mana-mana organisasi berkaitan bagi mendapatkan pengesahan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini