SAUDARA PENGARANG,
JABATAN Kesihatan Negeri Selangor mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan yang disuarakan oleh ‘Puan Aini, Seri Kembangan’ mengenai Klinik Kesihatan (KK) Seri Kembangan sesak melalui akhbar Utusan Malaysia pada 2 Mei 2019.
Jabatan ini juga mengucapkan terima kasih di atas kefahaman puan tentang kemudahan sedia ada di KK Seri Kembangan yang tidak dapat menampung lagi kedatangan pesakit yang bertambah tinggi berikutan kepadatan penduduk yang meningkat di sekitarnya.
Jabatan ini juga berterima kasih atas pujian puan akan sikap anggota klinik yang begitu komited dalam menjalankan tugas harian melayan kerenah pesakit yang ramai.
Untuk makluman puan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah mengemukakan permohonan untuk pembinaan bangunan klinik yang baharu mengganti blok bangunan sedia ada dalam Rancangan Malaysia ke-11 yang boleh menampung kedatangan pesakit sehingga 1,000 orang sehari. Bangunan klinik sedia ada ini yang dibina pada tahun 70-an hanya mampu menerima kedatangan pesakit seramai 300 sehari.
Bagi menangani masalah kesesakan ini, dalam perancangan jangka pendek, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah menambah bilangan lapan (8) bilik pemeriksaan dengan pembinaan kabin.
Ia telah diguna pakai pada penghujung tahun 2017. Selain itu, kaunter pendaftaran telah diubah suai dan dipindahkan ke bahagian luar bangunan klinik sedia ada bagi mengurangkan kesesakan di bahagian dalam klinik.
Adalah diharapkan penduduk sekitar Kawasan Seri Kembangan dapat bersabar menunggu pembinaan bangunan klinik yang lebih besar menjadi kenyataan yang akan menyediakan ruang perkhidmatan lebih selesa kepada pesakit dan juga kepada anggota yang memberikan perkhidmatan.
DATUK DR. KHALID IBRAHIM
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor











