Elak membazir 
di musim perayaan - Utusan Malaysia

Elak membazir 
di musim perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN baru memasuki fasa awal bulan Ramadan namun penulis percaya persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sudahpun bermula.

Di samping menunaikan ibadat puasa umat Islam seperti biasa sudah memulakan proses persiapan dan perbelanjaan untuk menyambut 1 Syawal. Ini adalah proses rutin pada setiap tahun dan memang wajar dibuat persiapan awal supaya tidak kelam kabut pada penghujung nanti.

Justeru sebagai peringatan bersama, marilah kita tanamkan azam tahun ini supaya mengurangkan sebanyak mungkin perbelanjaan yang tidak perlu dan terlalu mengikut nafsu serta kemahuan berbanding keperluan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saban tahun isu pembaziran akan menjadi topik utama pada setiap musim perayaan besar seperti Aidilfitri. Masyarakat seolah-olah terlalu sebati dengan budaya wajib menukar dan menggantikan itu dan ini demi menyambut Aidilfitri.

Ada yang tukar perabot, langsir, permaidani dan perkakasan rumah yang lain hampir setiap tahun menjelang 1 Syawal. Persoalannya apakah jangka hayat semua barangan ini hanya setahun? Agak tidak wajar jika ia ditukar setiap tahun kerana kita percaya ia masih dalam keadaan elok dan boleh digunakan.

Hakikatnya memang terdapat segelintir anggota masyarakat yang suka menukar pelbagai barangan rumah pada setiap tahun.

Ini kerana pertama, terlalu mengikut kemahuan dan trend dan kedua kerana terlalu mudah terpengaruh dan terpedaya dengan promosi jualan murah.

Dalam konteks ini kita sebagai pengguna perlu bijak bertindak pada setiap masa terutamanya ketika musim perayaan. Golongan wanita yang menguruskan hal ehwal rumah tangga misalnya perlu lebih peka dan berhati-hati.

Antara langkah awal yang boleh diambil ialah, nilai dan audit terlebih dahulu semua barangan rumah bagi mengetahui kondisi dan keadaan barangan tersebut sama ada masih elok atau sudah usang dan rosak.

Melalui aktiviti ini kita dapat membuat keputusan apa yang perlu diganti dan mana yang boleh terus digunakan. Dan selepas itu barulah kita sediakan senarai pembelian yang diperlukan.

Senarai pembelian ini cukup penting kerana kita fokus dan berdisiplin ketika berbelanja. Dalam menyediakan senarai pembelian kita perlu memberi perhatian kepada tujuan dan matlamat pembelian yang perlu berpaksikan kepada aspek keperluan dan bukannya kemahuan.

Proses pembelian juga perlu diberi perhatian yang serius. Sebagai pengguna kita mempunyai banyak pilihan. Kita perlu ingat satu barang yang sama kebiasaannya dijual pada harga yang berbeza-beza di kedai yang berlainan.

Ini berlaku apabila peniaga cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga supaya dapat meraih margin keuntungan yang lebih besar. Jadi kita perlu lebih bijak dalam memilih kedai yang betul serta jual dengan harga yang patut dan tidak mencekik pengguna.

Untuk itu kita perlu ambil sedikit masa bagi menyemak harga jualan di beberapa kedai sebelum membeli. Dengan itu kita bukan saja dapat menikmati nilai yang lebih baik dan berbaloi untuk wang dibelanjakan, malah dapat juga membuat penjimatan sewajarnya.

Pada masa sama kita juga wajar berhati-hati dengan pelbagai tawaran promosi dan harga runtuh serta murah yang ditawarkan oleh peniaga bersempena dengan musim perayaan.

Jangan terlalu mudah terpengaruh, tertipu dan gelap mata. Ukurlah baju di badan sendiri, berbelanjalah mengikut kemampuan dan jangan mengikut nafsu dan kemahuan.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini