Bursa Malaysia ditutup tinggi - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia ditutup tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mei – Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi walaupun wujud kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan AS-China dengan Digi dan Axiata menjadi tumpuan susulan pelan penggabungannya.

Pada pukul 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.57 mata kepada 1,639.37 berbanding 1,632.80 pada penutupan Isnin.

Selepas dibuka 6.03 mata lebih rendah pada 1,626.77, indeks penanda aras bergerak antara 1,626.06 dan 1,641.86 di sepanjang hari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan kedudukan pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 555 berbanding 309, manakala 373 kaunter tidak berubah, 669 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.02 bilion saham bernilai RM2.25 bilion berbanding 2.79 bilion saham bernilai RM1.70 bilion semalam.

Penganalisis berkata, prestasi Bursa Malaysia adalah sejajar dengan pasaran saham serantau dengan pelabur mengambil kira perkembangan terbaru dalam pertikaian perdagangan AS-China yang masih berlarutan.

Perunding utama perdagangan China, Naib Perdana Menteri, Liu He dijangka bertemu pegawai AS untuk pusingan rundingan baharu minggu ini selepas Presiden AS, Donald Trump memberi amaran untuk menaikkan tarif ke atas barangan China.

Dalam negara, kebanyakan kaunter kewangan lemah susulan keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Maybank meningkat satu sen kepada RM8.99, RHB tidak berubah pada RM5.69, Public Bank susut lapan sen kepada RM22.48, manakala AMMB turun empat sen kepada RM4.44.

Axiata merupakan kaunter paling untung berikutan perbincangan penggabungan mega yang sedang berjalan bersama Telenor Group Norway yang menguasai 49 peratus kepentingan dalam Digi.Com.

Sahamnya melonjak 60 sen kepada RM4.64 manakala Digi meningkat 28 sen kepada RM4.80. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini