KUALA LUMPUR 7 Mei – Pemindahan tapak bazar Ramadan dari Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Raja, di sini oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertujuan meningkatkan imej peniaga dan bazar berkenaan menjadi lebih kemas dan tersusun.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin dalam kenyataan berkata, pemindahan tapak dari lorong belakang bangunan ke lokasi tumpuan pelancong dengan kemudahan perniagaan yang lebih berketrampilan itu diharap memberi impak positif.
“Bazar Ramadan ini merupakan bazar jualan khusus untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri. Barang yang dijual di sini hanyalah barang kering seperti pakaian, perhiasan, aksesori diri dan rumah, makanan kering berbungkus dan peralatan.
“Tiada juadah berbuka puasa serta aktiviti memasak dibenarkan di lokasi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norhaslinda berkata, Bazar Ramadan Jalan Raja beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam sepanjang Ramadan dan biasanya dikunjungi pada lewat petang hingga ke sebelah malam.
“Keadaan lengang kerana kurang pengunjung pada sebelah pagi dan pada awal Ramadan merupakan keadaan biasa pada setiap tahun. Keadaan ini pasti akan berubah menjelang seminggu selepas Ramadan,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan keadaan suram bazar perayaan berkenaan pada hari pertama ia beroperasi selepas dipindahkan dari Jalan Tuanku Abdul Rahman. – UTUSAN ONLINE











