Jabatan Perikanan tidak pernah keluar lesen laut dalam kepada warga asing - Utusan Malaysia

Jabatan Perikanan tidak pernah keluar lesen laut dalam kepada warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 7Mei – Jabatan Perikanan tidak pernah mengeluarkan lesen laut dalam kepada warga asing dan lesen yang dikeluarkan adalah kepada individu atau syarikat tempatan sepenuhnya.

Munir Mohd. Nawi
MUNIR MOHD. NAWI 

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi berkata, bermula September 2017, pihaknya tidak lagi mengeluarkan permit laut dalam untuk vesel perolehan dari luar negara.

Munir berkata, terkini, Jabatan Perikanan menggalakkan pembinaan vesel baharu dalam negara melalui pemodenan vesel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, jabatan itu memandang serius laporan media mengenai pencerobohan vesel nelayan Vietnam ke dalam perairan negara yang mengakibatkan ketirisan hasil laut dan pencerobohan kawasan oleh vesel pukat tunda tempatan.

Katanya, sebanyak 341 kes tangkapan vesel asing dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM682 juta telah dilaksanakan oleh penguatkuasa Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) pada tahun 2017 hingga kini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 285 kes tangkapan vesel Vietnam telah dilaksanakan, manakala 44 kes melibatkan vesel Indonesia, Thailand (6) dan enam vesel dari negara lain seperti China, Taiwan, Singapura dan Filipina.

“Manakala sebanyak 786 kes vesel pukat tunda tempatan telah menceroboh kawasan pantai dengan nilaian kompaun, denda dan lelong ikan berjumlah RM2.02 juta yang telah menimbulkan konflik kepada nelayan pantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Munir, tindakan tegas yang telah diambil adalah dengan melaksanakan program pemutihan vesel laut dalam bagi memastikan lesen diberikan kepada pengusaha yang benar-benar tulen dan mematuhi undang-undang serta prosedur pelesenan yang ditetapkan.

Malah katanya, Akta Perikanan 1985 juga telah dikemaskini bagi memastikan setiap kes dapat disabitkan kesalahan.

“Sejak tahun 2011, sebanyak 577 vesel laut dalam telah dibatalkan lesen dan 61 lesen lagi sedang dalam proses pembatalan, termasuk pembatalan permit yang tidak memenuhi syarat pelesenan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencari jalan penyelesaian kepada kemelut pencerobohan vesel pukat tunda ke perairan pantai, jabatan itu melaksanakan transformasi pukat tunda melalui program ‘exit policy’ bagi memastikan kemampanan sumber perikanan.

Katanya, nelayan digalakkan untuk mengusahakan vesel pukat tunda di zon C atau menukar peralatan yang lebih mesra sumber sekiranya hendak kekal di zon yang sama.

“Sistem pembaharuan lesen akan ditambahbaik dengan penggunaan ‘report card’ bagi vesel laut dalam bagi memberi wajaran serta penalti ke atas prestasi pendaratan ikan, keaktifan alat MTU-VMS, ciri keaslian vesel dan juga bilangan kesalahan yang dilakukan, “ jelasnya.

Tambah Munir, kerjasama serantau untuk membanteras penangkapan ikan secara haram (RPOA-IUU) juga diperkukuhkan melalui platfom bilateral dengan negara Vietnam dan Thailand. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini