PUTRAJAYA 7 Mei – Malaysia dalam proses menarik diri daripada menyertai Statut Rom.
Menurut sumber di Wisma Putra, surat penarikan diri Malaysia daripada meratifikasi statut berkenaan sudah dihantar ke pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lepas.

“Cuma sebab penarikan ini tiada precedent lagi (tiada negara tarik diri sebelum meratifkasinya), pihak PBB akan mengambil lebih lama (masa) untuk proses. Saya rasa sebab proses itu sebelum selesai, maka pihak PBB belum update (kemas kini) senarai dalam website lagi,” jelasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas Malaysia masih dalam senarai peserta Statut Rom yang tular dalam media sosial dan turut memaparkan laman web PBB bertarikh 6 Mei, semalam.
Kerajaan pada 5 April lalu memutuskan bahawa Malaysia menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja. – UTUSAN ONLINE











