SKMM terima aduan akaun media sosial individu berprofil digodam - Utusan Malaysia

SKMM terima aduan akaun media sosial individu berprofil digodam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA 7 Mei – Insiden godam melibatkan seorang individu berprofil tinggi adalah menjurus kepada penipuan dan penyamaran oleh individu tertentu bagi memperdaya orang ramai.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kes itu ekoran satu aduan diterima pihaknya membabitkan kes mengambil alih akses satu akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi berkenaan.

SKMM

Kata kenyataan itu lagi, ia menjurus kepada penipuan sebagai individu berpengaruh dan cuba memperdaya mangsa untuk memuat turun dan memasang aplikasi seperti Telegram serta Viber ke dalam sistem telefon.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seterusnya, mangsa akan diminta untuk berkongsi kod pengesahan yang dihantar kepada peranti telefon milik mangsa.

“Perkongsian kod pengesahan tersebut akan membuka ruang kepada suspek untuk mengambil alih akaun berkenaan serta mendapati akses kepada kandungan yang terhubung-kait (synchronized) dengan akaun tersebut seperti senarai hubungan (contact list),” kata kenyataan itu di sini hari ini.

SKMM menambah, ini membolehkan suspek menggunakan akaun yang dikompromi untuk membuat penyamaran dan memperdaya penerima dalam senarai tersebut dengan menghantar pesanan palsu.

Kenyataan itu menambah pesanan palsu itu boleh memberi impak negatif kepada pemilik nombor termasuk melibatkan identiti mereka dalam kegiatan jenayah.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan supaya memastikan aplikasi-aplikasi dalam telefon mereka sentiasa dikemas kini.

“Jika ada menerima panggilan atau mesej mencurigakan daripada pihak mengakui sebagai individu berpengaruh, sila buat pengesahan terlebih dahulu dan elak daripada berkongsi kod pengesahan diterima supaya aplikasi tidak dapat diambil alih oleh pihak ketiga,” ujar kenyataan itu.

SKMM sedar bahawa modus operandi penipuan dalam talian akan berubah mengikut peredaran masa dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sekiranya menjadi mangsa, laporkan dengan segera kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujar kenyataan itu.

Semalam, satu portal melaporkan akaun Telegram milik Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad telah digodam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini