KUALA LUMPUR 7 Mei – Pengeksport sarung tangan jenis cleanroom kedua terbesar Malaysia, CE Technology Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM12.48 juta menerusi penyenaraiannya di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Sekuriti dengan sebahagian besarnya digunakan bagi tujuan pelan pengembangan syarikat itu.
CE Technology dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad bagi tujuan penyenaraiannya di pasaran LEAP.
“Penyenaraian itu melibatkan peruntukan 52 juta saham yang mewakili 15.02 peratus daripada penambahan modal saham syarikat itu kepada pelabur terpilih pada harga indikatif 24 sen sesaham iaitu membabitkan pengumpulan berjumlah RM12.48 juta.
“Sebaik penyenaraian di Pasaran LEAP, CE Technology dijangka memiliki modal pasaran sebanyak RM83.1 juta,” katanya di sini hari ini.
Sarung tangan cleanroom merujuk kepada kegunaan khusus dalam persekitaran pencemaran yang terkawal termasuk bagi tujuan mengelak kerosakan produk atau dicemari. – UTUSAN ONLINE











