PORT DICKSON – Seorang bayi perempuan yang ditemui di hadapan pagar sebuah rumah di Lukut oleh penghuninya semalam meninggal dunia di Hospital Port Dickson malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, bayi pramatang itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.05 malam.
“Perkara itu dimaklumkan pihak hospital yang hadir membuat laporan mengenainya. Tidak dinyatakan punca kematian kerana bayi pramatang.
“Pihak polis telah menggerakkan operasi bagi mengesan ibu mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini
Semalam, seorang bayi perempuan yang baru lahir ditemui ditinggalkan dalam sebuah kotak di hadapan sebuah rumah di Lukut dekat sini.
Bayi itu ditemui oleh suri rumah berusia 44 tahun semasa dia mahu membuang sampah kira-kira pukul 10.15 pagi.
Wanita itu membawa bayi berkenaan ke Balai Polis Lukut bagi mendapatkan pertolongan sebelum dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh pihak polis.
Bayi itu semasa ditemui masih bertali pusat dan dibalut dengan kain pelikat, malah uri bayi tersebut berada dalam kotak tersebut.











